Pengertian Islam..
Perkataan Islam berasal dari perkataan Arab (aslama, yuslimu, islaman) yang bermaksud tunduk, patuh dan ia juga bermaksud selamat, sejahtera serta damai. Nama Islam itu sendiri adalah diberi oleh Allah Tuhan sekelian alam. Agama Islam adalah agama yang mentauhidkan Allah dan telah lama wujud sebermula dengan Nabi Adam a.s. sehingga Nabi terakhir Nabi Muhammad s.a.w. Cuma yang membezakan (antara nabi-nabi) ialah dari segi syariat sahaja.
Islam adalah sebagai Ad-Din yang merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia yang terkandung di dalamnya aqidah, muamalat, amalan-amalan dan hukum hakam berhubungan dengan rohani dan jasmani, fardiyyah dan jamaiyyah, agama dan politik dan segala urusan hidup di dunia dan akhirat. Secara khususnya pengertian Islam sebagaimana yang ditakrifkan oleh ulama-ulama’ berdasarkan kepada Al-Qur’an dan AsSunnah adalah:-
- Islam bererti tunduk dan menyerah diri kepada Allah swt serta mentaati segala perintahnya yang lahir dari kesedaran hati.
Firman Allah swt:-
“Apakah mereka mencari agama yang lain dari agama Allah padahal kepadaNya menyerah diri segala apa yang ada dilangit dan bumi, baik dengan suka mahupun terpaksa dan kepada Allah mereka dikembalikan”. (Surah Ali Imran ayat 83)
Sesungguhnya tanda bukti penuh ketundukan kepada Allah swt ialah reda menerima agamanya yang diiringi pula dengan penuh kesedaran. lantaran ini adalah Islam merupakan agama yang diredai Allah, agama yang diwahyukan kepada Rasul-Rasul a.s. untuk disampaikan kepada manusia.
- Islam adalah peraturan (an Nizom), perundangan yang lengkap bagi mengatur kehidupan manusia dan menjadi dasar akhlak yang mulia yang dibawa oleh Rasulullah saw daripada Allah swt, disampaikan kepada manusia serta menyatakan apa yang mengenai orang yang mengikut dan menentang sama ada dosa dan pahala.
Firman allah swt:
“Dan barangsiapa yang mencari selain daripada Islam maka dia tidak akan diterima daripadanya dan diakhirat nanti dia termasuk dikalangan orang-orang yang rugi” (Surah Ali Imran ayat 85)
- Islam adalah kumpulan peraturan yang diturunkan oleh Allah swt kepada RasulNya saw, yang terkandung di dalamnya peraturan-peraturan yang berbentuk aqidah, akhlak, muamalat dan segala berita yang disebut di dalam Al-Qur’an dan As-Sunnah adalah perintah untuk disampaikan kepada manusia.
Firman Allah swt:
“Wahai Rasul, sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu dan jika tidak kamu kerjakan (apa yang diperintah itu) beerti kamu tidak menyampaikan risalah Allah dan Allah memelihara kamu dari gangguan manusia”
- Islam ialah keseluruhan Ad-Din yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw yang terkandung di dalamnya perkara-perkara yang berhubung dengan aqidah, amalan dan hukum hakam yang disertai dengan kepatuhan secara zahir dan batin dengan penuh keikhlasan.
Firman Allah swt:
“Bahkan sesiapa yang menyerah dirinya kepada Allah sedangkan dia berlaku baik, maka baginya ganjaran di sisi Tuhannya dan tidak ada takut bagi mereka dan mereka juga tidak berdukacita” (Surah al-Baqarah ayat 112)
- Islam dengan makna menyerah diri secara zahir sahaja sekalipun dengan tidak ada iman di dalam hati. Islam yang seperti ini tidak memberi apa-apa faedah kepada penganutnya.
Firman Allah swt:
“orang Arab Badwi berkata: “Kami telah beriman”. Katakanlah kepada mereka: “Kamu belum beriman”, tetapi katakanlah: “Kami telah Islam, kerana iman itu belum masuk ke dalam hati-hati kamu”. (Surah Al Hujurat: ayat 14)
- Agama islam terdapat 2 rukun yang utama yaitu “Rukun Islam” dan “Rukun Iman” yang menjadi teras amalan seorang mukmin (orang yang beragama islam). Dalam Islam juga ada tiga konsep yang penting iaitu Iman, 'amal dan Ihsan. Secara ringkasnya Iman adalah berkaitan dengan kepercayaan (aqidah) seorang Muslim. Kepercayaan ini bersandarkan kepada enam perkara yang disebut “Rukun Iman” manakala “Rukun Islam” pula berkait rapat dengan tanggungjawab seseorang Muslim yang perlu dilakukan. Manakala Ihsan pula menyentuh tentang adab serta sikap seorang Muslim.
- Islam merupakan penghayatan yang sebenar bagi manusia yang mana ia merupakan cahaya petunjuk dalam kehidupan serta ubat yang mujarab untuk mengatasi dan memperbaiki masyarakat kembali ke jalan yang sebenar yang tidak mungkin sesat kepada sesiapa yang melaluinya.

4 comments:
huhuh..
asalamualaikum.. thanks coz bagi penjelasan.. terima kasih byk2. :)
teruskan menulis lagi.. :)
Post a Comment